Sejak bermula pada 23 September lalu, hingga kini, kira-kira 57,000 pengunjung termasuk dari negeri-negeru lain telah menyaksikan pameran yang mengetengahkan sebahagian daripada khazanah peninggalan Baginda.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali berkata, pameran ini memberi peluang kepada rakyat untuk melihat sendiri artifak yang turut menjadi rakaman sejarah kehidupan dan perjuangan Baginda.

“Pameran  ini juga untuk memberi pendidikan, sumber inspirasi  dan pengetahuan kepada pengunjung mengenaià kegemilangan tamadun Islam.

“Antara artifak yang boleh dilihat ialah rambut, tapak kaki, capal, serban, tongkat, busur dan panah milik Rasulullah SAW di samping pedang sahabat baginda,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Walkabout sempena pameran itu, hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar YPU, Rozali Salleh dan Pengarah Urusan Dragon Heart Sdn Bhd, Datuk Anuar Hassan selaku penganjur pameran.

Yahaya berkata, pameran dijayakan melalui usaha sama antara Dragon Heart Sdn. Bhd. dengan kerajaan negeri dan Yayasan Pembangunan Usahawan  (YPU) Terengganu.

Sementara itu, Anuar berkata, Terengganu menjadi lokasi ke-11 pameran tersebut yang diadakan di seluruh negara pada tahun ini.

Katanya, selepas itu pameran tersebut akan diadakan di Pahang bermula 18 November depan serta dua pameran mini yang diadakan di Selangor pada penghujung Oktober ini dan Johor pada penghujung November depan.

"Tiket masuk cuma RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak. Pameran dibuka setiap hari mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam," ujarnya. - UTUSAN ONLINE