Dalam pertandingan anjuran Muzium Negeri yang diumumkan keputusannya semalam, Mohamed, 67, mencurahkan kreativiti bertepatan dengan tema kearifan tempatan melalui karyanya yang menggunakan medium cat minyak.

Beliau membawa pulang wang tunai RM8,000 selaku pemenang Kategori Siap dalam majlis penyampaian hadiah di sini semalam yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong.

Tempat kedua disandang oleh pelukis tempatan, Nazli Hamzah, 61, melalui karya bertajuk Akal Di Mata Pahat Pesona Seluruh Alam membolehkan beliau menerima hadiah wang tunai RM6,000.

Tempat ketiga dengan hadiah RM4,000 dimenangi oleh Abdul Rahman Sakarang, 22, dari Sabah dengan karya bertajuk Silat Kura-Kura manakala lima lagi peserta menerima hadiah saguhati, ma­sing-masing sebanyak RM1,500.

Dalam kategori Karya Spontan pula, Abdullah Ehlid Al Walid Luli @ Ehlid Lili mendapat tempat pertama melalui Jiwa 11 menerima wang tunai RM2,000, kedua jatuh kepada karya Rezeki Payang oleh Muhamad Sazri Russalam Zul­kernain (RM1,000) dan ketiga, Pedoman dan Peneman oleh Taib Abdul Razak (RM750).

Program kali ke-10 anjuran Muzium Negeri itu dimulakan pada 2005 dan menawarkan hadiah keseluruhan RM35,750 dengan penyertaan terbuka kepada seluruh aktivis seni catan tanah air.

Sebanyak 74 penyertaan diterima untuk kategori karya spontan dan sebanyak 66 buah untuk kategori karya siap yang menjurus ke arah mempromosikan Terengganu melalui paparan tema seni budaya, resam kehidupan, warisan alam dan sejarah.