Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr.Azman Ibrahim berkata, para nelayan semakin gemar mendaratkan hasil di Pahang dan Kelantan kerana masalah muara cetek yang berpanjangan dan kekurangan kemudahan seperti bilik sejuk di kebanyakan kompleks dan jeti perikanan di negeri ini.

Sehubungan itu katanya, sugutan harga ikan mahal di negeri yang jaluran pantai yang panjang dan bilangan nelayan yang ramai akan sentiasa membelenggu rakyat negeri ini sekiranya faktor -faktor itu gagal diatasi.

“Berdasarkan kajian, masalah muara cetek dan kekurangan infrastuktur menyebabkan kebanyakan nelayan di negeri ini terpaksa mendaratkan ikan di pelabuhan negeri lain seperti Tok Bali dan Kuantan sebelum dibawa semula ke sini dengan pengangkutan darat.

“Ini menyebabkan kosnya meningkat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Pelabuhan Perikanan Cendering, di sini hari ini sambil memberitahu, cuma kira-kira 500 nelayan daripada 1,800 nelayan yang masih menggunakan pelabuhan ini.

Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmud.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius berhubung isu berkenaan dan akan berusaha untuk memastikan kesemua kompleks pendaratan ikan di negeri ini kembali meriah seperti dahulu.

Menurut Dr. Azman, menyedari masalah itu, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pas akan memastikan projek membaik pulih dan menaik taraf Kompleks Pelabuhan Perikanan Cendering yang dirancang kerajaan sebelum ini dapat diteruskan seberapa segera.

Menurutnya, projek tersebut bakal melibatkan dana kerajaan negeri dianggarkan sebanyak RM500 juta manakala RM23 juta lagi daripada daripada kerajaan Persekutuan.

“Memandangkan pentadbiran kerajaan Persekutuan telah berubah, kita berharap perkara ini tidak menimbulkan masalah dan saya akan terus mengadakan perbincangan bagi kelangsungan projek ini.

“Khususnya untuk menyelesaikan masalah kedalaman muara pebuhan ini kerana apa yang kita harapkan ialah semua bot nelayan akan dapat mendaratkan semula ikan di pelabuhan ini,” ujarnya.

Selain itu kata Dr. Azman, kerajaan negeri juga sedang meneliti cadangan daripada pihak pelabur swasta yang bersedia untuk melakukan kerja-kerja menaik taraf pelabuhan dan muara termasuk memanjangkan benteng pemecah ombak di Pelabuhan Cendering.-UTUSAN ONLINE