Sijil susulan pengumuman pemilihannya sebagai rakyat Malaysia yang kedua bagi anugerah tersebut pada 2 Julai lalu itu disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell di Kampung Pasir Gajah, di sini, di lokasi penyelidik itu bersama penduduk merintis usaha pada 2011.

Pengasas bersama Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu Malaysia (TCS) yang kini menetap di daerah ini kerana komitmennya itu berkata, projek tersebut tidak akan mencatatkan kejayaan sehingga turut menarik perhatian masyarakat dunia jika tiada kerjasama daripada penduduk setempat dan anggota keluarganya.

“Bila saya memulakan projek ini, saya tidak menjangka apa yang akan terhasil daripadanya. Ketika itu saya baharu berusia 30 tahun dan baharu sahaja mengasaskan persatuan bagi memulakan projek pemuliharaan jangka panjang untuk menyelamatkan tuntung sungai.

“Dengan restu ketua dan penduduk kampung, saya telah memulakan projek dengan penduduk yang menggelarkan diri mereka Geng Tuntung yang berusaha mendapatkan telur untuk dieram, dipelihara dan dilepaskan ke Sungai Kemaman,”ujarnya ketika berucap dalam majlis itu.

Sejak lapan tahun lalu, daripada 4,500 telur yang berjaya dikumpul (pada musim bertelur sekitar Febuari dan Mac) dan kira-kira 3,000 telah dilepaskan dalam Sungai Kemaman.

“Projek ini sangat istimewa kerana melibatkan peranan penduduk setempat dan pemimpin masyarakat untuk bersama berperanan. Dan pengiktirafan ini adalah untuk mereka semua.

“Sehingga kini kita sudah mempunyai sebuah galeri, pusat pemuliharaan, di samping mengendalikan kem kesedaran kepada pelajar dan menerima tetamu dari pelbagai negara yang tertarik dengan usaha ini.

“Di samping itu kita cuba mempromosikan tuntung sungai dengan Kampung Pasir Gajah

dalam satu pakej pelancongan berasaskan alam semulajadi,” ujar Dr.Chen yang menjadi anggota keluarga besar penduduk kampung.

Sementara itu Vicki menyatakan rasa kagumnya dengan usaha Dr. Chen dan penduduk dalam kawasan pedalaman walaupun berskala kecil ternyata mampu membantu memberi impak besar dalam mengingatkan betapa perlunya kehidupan ini diharmonikan dengan alam semulajadi.-UTUSAN ONLINE