Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berharap amalan itu dikekalkan bagi membolehkan setiap lapisan masyarakat di kawasan tersebut terus hidup dalam suasana kasih sayang dan harmoni.

“Saya difahamkan setiap petugas yang terlibat dengan majlis ini telah melakukan persiapan sejak pukul 12 tengah malam lagi termasuk mereka yang menyediakan pinggan mangkuk, keselamatan, makanan dan juga minuman.

“Pendekatan dan amalan kerja seperti inilah perlu diteruskan, namun dalam kita menyambut hari raya, kesihatan perlu juga diberi keutamaan,” katanya ketika hadir meraikan tetamu pada majlis yang meriah itu.

Lebih 5,000 pengunjung mewakili pelbagai lapisan masyarakat hadir pada majlis tersebut termasuk ‘orang politik’, kakitangan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk sekitar daerah ini.

Sepanjang majlis berlangsung, Ahmad Samsuri dan isteri, Tuan Faezah Tuan Abdul Rahman bukan setakat menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak dan bersalaman dengan tetamu yang hadir, malah tidak putus-putus diminta untuk bersuar foto bersama pengunjung.

Yang turut hadir, Yang Dipertua DUN Terengganu, Yahaya Ali dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.

Pelbagai juadah tradisional dan biskut moden disediakan kepada tetamu termasuk hidangan nasi minyak, nasi dagang, ketupat, lemang dan tapai pulut.

Sementara itu, kehadiran orang ramai sejak pukul 9.30 pagi menyebabkan lauk gulai lima ekor kambing habis hanya dalam tempoh 30 minit. - UTUSAN ONLINE