Lebih 1,000 orang penduduk sekitar kampung berkenaan tidak melepaskan peluang menyaksikan haiwan dari baka Charolais berusia tiga tahun itu disembelih bermula kira-kira pukul 10.30 pagi di pekarangan Masjid Makmur di situ.

Selain lembu sado itu, enam ekor lagi lembu bersaiz biasa turut ditumbangkan dalam program yang dianjurkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Badan Ukhuwah Darul Iman (Budi).

Menurut Pengerusi Budi, Zul Fadzli Hassan, ia merupakan penganjuran kali kedua melibatkan lembu bersaiz besar apabila kali pertama diadakan pada 2016 dengan berat lembu sado ketika itu hampir 1 tan.

Katanya, memandangkan mendapat sambutan serta permintaan penduduk, pihaknya bersetuju menganjurkan ibadat korban tahun ini yang melibatkan baka lembu yang sama.

“Lembu ini dibeli dengan harga RM14,000 daripada penternak di Kampung Binjai Rendah, Marang dan haiwan ini begitu jinak kerana sejak lahir tak pernah keluar dari kandang selain hanya diberi makan dedak,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zul Fadzli, setiap peserta yang menyertai ibadah korban lembu sado tersebut ditetapkan RM2,200 bagi setiap bahagian.

Menurut beliau, walaupun lebih mahal daripada kebiasaan, ketujuh-tujuh peserta masing-masing mendapat 50 kilogram (kg) berbanding enam hingga lapan kg bagi lembu bersaiz biasa.

“Pada masa sama, daging-daging lembu sado ini juga diagihkan kepada hampir 2,000 penduduk kampung sekitar,” katanya. - UTUSAN ONLINE