Che Rimi Hussin, 49, berkata, walaupun baharu diperkenalkan namun resipi yang menggunakan durian jenis 101 itu mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan peminat raja buah tersebut.

Dia yang mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya, Norakhadah Yatimin, 46, berkata, harga bagi sebatang lemang durian adalah sekitar RM40 bergantung kepada nilai pasaran semasa buah itu.

“Dalam sehari kita mampu menjual kira-kira enam batang lemang durian.

“Lemang durian memang menjadi perhatian pelanggan yang datang di kedai tetapi hanya yang betul-betul penggemar sahaja yang membelinya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Selain lemang durian, pasangan usahawan itu turut menjual lemang asli, coklat, jagung, pulut hitam, kacang merah, mangga, nangka dan jagung.

Kedua-duanya sebelum ini mengusahakan perniagaan lemang secara kecil-kecilan di rumah mereka di Masjid Tanah, Melaka pada tahun 2004 dan mula beroperasi di Rhu Sepuluh, Setiu pada tahun lalu sebelum ditawarkan premis Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di PTK Nyiur Tujuh.

Che Rimi berkata, rakyat negeri ini boleh mencuba pengalaman menikmati lemang durian kerana juadah itu akan dibawa ke program ‘Durian Day’ yang akan diadakan di pekarangan pejabat FAMA Terengganu pada 7 Ogos depan.

Katanya, usaha menjadikan lemang lebih disukai ramai berbaloi dengan menggunakan teknologi dapur khas diperbuat daripada keluli tahan karat (stainless steel) hasil inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). - UTUSAN ONLINE