Lafaz ikrar itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor sambil disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Mohd. Zaki Hassan bertempat di Dewan Besar Darul Iman Training Centre (DITC) di Teluk Kalong di sini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC, Ahmad Mohd. Yunus; Pengurus Besar Bahagian Perancangan dan Komunikasi Korporat EPIC, Abdul Adzim Abdul Hamid dan Ketua Cawangan SPRM Kemaman, Ahmad Rizal Samat.

Menurut Noor Fadzil, pihaknya berharap ikrar tersebut bukan sekadar lafaz tetapi juga mesti dihayati dan diamalkan oleh semua kakitangan Kumpulan EPIC untuk sama-sama memerangi gejala rasuah.

“Majlis yang julung kali dianjurkan Kumpulan EPIC ini bersempena Hari Anti Rasuah Sedunia pada 9 Disember setiap tahun adalah tanda sokongan dan komitmen Kumpulan EPIC sebagai anak syarikat kerajaan negeri Terengganu dalam membenteras gejala rasuah dan salah guna kuasa serta mewujudkan perkhidmatan yang adil dan telus.

“Di samping itu, majlis ini juga seiring dengan teras utama Rancangan Perniagaan Kumpulan EPIC 2019 - 2023, iaitu menerima pakai amalan terbaik dalam pengurusan perniagaan tadbir urus dalam menuju kemampanan dan kredibiliti syarikat di masa kini dan akan datang,” katanya di sini hari ini.

Kerjasama antara Kumpulan EPIC dan SPRM dalam menjayakan majlis ini juga merupakan salah satu usaha meningkatkan nilai integriti serta melahirkan modal insan yang lebih bertanggungjawab, amanah dalam setiap aspek tugasan dan seterusnya memberi nilai tambah kepada syarikat secara keseluruhannya. - UTUSAN ONLINE