Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, penjimatan itu membolehkan kementeriannya membina 1,834 buah rumah tambahan berbanding sasaran sebelum ini iaitu 1,534 buah rumah baharu.

Menurutnya, pembinaan secara IBS itu mempu menjimatkan sehingga 18 peratus peruntukan yang disasarkan tanpa menjejaskan kualiti dan saiz rumah terbabit.

“Kita tetap meneruskan projek PPRT ini dan kementerian menolak tanggapan dan desas desus yang mengatakan kerajaan akan menghentikan projek ini meskipun kita menerima peruntukan yang kurang berbanding tahun lepas,

“Tahun ini kita menerima peruntukan sebanyak RM200 juta bagi projek terbabit dan sengan menggunakan teknologi pembinaan sedemikian ianya dapat menjimatkan kos pembinaan dan kita boleh membina lebih banyak lagi rumah,” katanya

Beliau menyatakan perkara itu dalam Majlis Iftar dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK ) peringkat negeri di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dekat sini petang tadi.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Zulkifli Mohamad.

Beliau menambah, pihaknya juga turut membaik pulih hampir 10,000 buah rumah di bawah program tersebut dan kerja-kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Sementara itu, Rina berkata, seramai 2,034 ahli jawatankuasa MPKK telah dilantik di seluruh negeri Terengganu sebagai mata dan telinga kepada kerajaan menyalurkan maklumat dan membantu penduduk yang memerlukan.

“ Kita berharap pelantikan MPKK itu dapat memainkan peranan serta memberi khidmat kepada komuniti setempat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik,” katanya. - UTUSAN ONLINE