Penyerahan surat tawaran yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman itu melibatkan pelaksanaan kerja-kerja inden, undi elektrik, undi dan mekanikal di seluruh negeri ini pada tahun ini membabitkan nilai ke­seluruhan berjumlah RM8.092 juta.

Yang turut hadir, ahli-ahli Exco kerajaan negeri; Pegawai Kemajuan negeri, Datuk Nik Nasarudin Mohd. Zawawi; Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan), Rosman Roslan dan Pengarah JKR negeri, Ir. Che Kamaruddin Bahar.

Ahmad Razif berkata, kontraktor diharapkan merancang dan melaksana kerja-kerja yang diamanahkan dengan baik, berku­aliti dan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Beliau mengingatkan mereka agar tidak mengambil jalan mudah mengejar keuntungan de­ngan ‘meng­alibabakan’ atau menjual kontrak.

“Kita mahu memastikan setiap projek yang diperoleh ini dapat dilaksanakan sendiri oleh kontraktor, tidak menjualnya kepada pihak lain atau mengabaikan ku­aliti projek akibat ingin mengambil untung berlebihan atas projek. Dalam hal ini, kita meminta JKR membuat pemantauan berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut beliau, sikap dan perbuatan sedemikian akan menimbulkan sungutan rakyat dan ini juga menjejaskan imej kerajaan yang memberi kepercayaan kepada mereka untuk melaksanakannya.

Ahmad Razif berkata, peluang yang diberikan seharusnya dimanfaatkan untuk membuktikan kebolehan dan meningkatkan keyakinan terhadap mereka, malah dapat menjadikan bidang ini sebagai perusahaan kekal yang dapat diwarisi oleh keluarga.