Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, jabatannya memandang serius terhadap peningkatan kes daripada amalan seks bebas ini terutama daripada risiko homoseksual dan biseksual.

Katanya, berdasarkan rekod sejak 1988 hingga Jun lalu, 1,083 kes dikesan berpunca daripada risiko seksual.

“Jumlah itu daripada keseluruhan sebanyak 9,816 kes HIV yang didaftarkan di negeri ini dengan 84.9 peratus berpunca daripada risiko perkongsian jarum suntikan di kalangan pengguna dadah

“Namun begitu kes jangkitan HIV di kalangan pengguna dadah menerusi suntikan telah menunjukkan penurunan agak ketara.

“Jangkitan kes HIV akibat risiko seksual menunjukkan trend peningkatan, sebanyak 27.1 peratus kes HIV dilaporkan pada 2017 berbanding 20.1 peratus pada tahun 2010 dan 0.62 peratus pada 2005...ini cukup membimbangkan pihak kami,” kata Mohammad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Sihat Tanpa Aids 2018 ‘ Eksplorasi Menuju Sifar’ di Dataran Waterfront Kuala Berang, hari ini.

Jelas beliau, melalui Majlis Aids Malaysia (MAC), mereka juga bergerak lebih agresif untuk memberi lebih kesedaran kepada orang ramai terutama pengamal homoseksual mengenai bahaya jangkitan HIV/AIDS dalam usaha mengawal wabak berkenaan daripada terus meningkat.

“Antara inisiatif ialah mendekati golongan ‘mak nyah’ atau pondan di negeri ini dengan memberikan kesedaran kepada mereka di samping anggota masyarakat yang lain agar mencegah aktiviti seks bebas.

“Mereka ini perlu menjauhi semua aktiviti berisiko seperti seks luar nikah dan aktiviti seks luar tabi’e selain memperkasakan golongan ini untuk mengatakan tidak kepada seks luar nikah,” ujar Mohammad.

Sementera itu, seramai 290 orang peserta terdiri daripada anggota jabatan bersama keluarga dengan 76 buah kenderaan menyertai kembara yang membabitkan aktiviti berbentuk pertandingan mencari harta karun dan kuiz pengetahuan asas HIV/AIDS.

Program tahunan itu selama dua hari yang bermula di sini akan tamat di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang.

Program bertemakan Eksplorasi Menuju Sifar ini akan diisi dengan pengedaran risalah HIV/AIDS kepada masyarakat di tempat-tempat awam di sepanjang laluan eksplorasi serta ceramah dan pameran HIV/ AIDS kepada peserta dan keluarga di Bukit Tinggi. - UTUSAN ONLINE