Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh berkata, daerah ini mencatatkan peningkatan kes tertinggi dengan 153 kes di samping 50 kes di Marang, Kuala Nerus (33 kes), Dungun (31 kes), Hulu Terengganu (11 kes) manakala Setiu (6 kes).

“Dua daerah merekodkan penurunan iaitu daripada 13 kes kepada 11 kes di Kemaman dan di Besut pula sebanyak 14 kes berbanding 20 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Walaupun secara keseluruhan terdapat peningkatan ketara, namun penurunan kes tetap berlaku pada setiap bulan dengan Januari menunjukkan 131 kes manakala hanya 28 kes dicatatkan pada bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen balik kampung Aidilfitri Ceria Tanpa Aedes di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam ), Dr. Kasemani Embong.

Mohd. menjelaskan sebanyak 81,857 premis telah diperiksa sehingga April lalu dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,299 premis dikesan positif pembiakan Aedes.

Beliau menarik perhatian, tiada wabak aktif denggi dikesan di seluruh negeri pada masa ini bagaimanapun, pergerakan besar-besaran orang ramai sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi di samping keadaan cuaca yang tidak menentu dibimbangi akan meningkatkan kes demam denggi di negeri ini.

“Kempen yang diadakan ini bertujuan mengingatkan orang ramai agar proaktif untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes di tempat tinggal mereka sepanjang bercuti manakala mereka yang menerima kepulangan sanak saudara serta tetamu semasa perayaan perlu bersedia agar rumah mereka bebas daripada nyamuk,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. menjangkakan kes kecemasan dan trauma di negeri ini akan meningkat kepada 450 kes sehari berbanding purata 300 kes pada hari biasa.

Katanya, bekalan darah terkumpul setakat ini adalah sebanyak 1,159 unit dan diyakini mencukupi berdasarkan penggunaan darah semasa di semua hospital di seluruh negeri antara 40 dan 50 unit sehari. - UTUSAN ONLINE