ALIAS RAZAK
ALIAS RAZAK 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata. bagi tujuan itu pihaknya akan menambah jumlah mesin hemodialisis sedia ada dalam memenuhi keperluan pesakit buah pinggang.

Beliau memberitahu, hospital-hospital kerajaan di negeri ini sehingga kini masih memerlukan sebanyak 68 lagi unit hemodialisis.

Selain itu, katanya, kerajaan juga merancang mewujudkan pusat hemodialisis di Kampung Telaga Mengkudu, Marang yang mampu menempatkan 10 mesin hemodialisis bagi kegunaan 20 pesakit daerah berkenaan, pada satu-satu masa.

“Kita juga akan ambil langkah untuk tambah sif iaitu dari satu sif kepada dua sif di pusat-pusat hemodialisis di Terengganu demi kepentingan dan keperluan pesakit buah pinggang,” katanya ketika menjawab soalan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dr. Alias seterusnya berkata, pada masa ini, terdapat 25 pusat hemodialisis di seluruh Terengganu dengan daerah ini mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak sembilan buah pusat seumpama itu.

Katanya, diikuti Kuala Nerus (empat), Dungun (empat), Kemaman (tiga), Besut (dua), Marang, Setiu dan Hulu Terengganu masing-masing sebuah.

Jelas beliau, terdapat seramai 2,066 pesakit buah pinggang di Terengganu yang memerlukan rawatan dan mereka terdiri daripada 1,367 orang yang sedang menerima rawatan, 348 orang dirawat berterusan manakala 291 lagi pesakit masih menunggu untuk dirawat. - UTUSAN ONLINE