Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim ketika memberi jaminan itu berkata, pihaknya akan berusaha menangani masalah itu khususnya di kawasan Besut yang terjejas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi bagaimanapun memberitahu, keadaan masih terkawal dan antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Oh selain sekitar kawasan Skim Pengairan Pelagat di daerah Besut.

Menurutnya, bagi jelapang padi, ia tidak menghadapi masalah serius memandangkan kawasan itu mempunyai sumber pengairan yang mencukupi daripada Empangan Paya Peda serta Empangan Jajar.

“Apa yang jadi masalah ialah kawasan yang di luar jelapang padi di mana sistem pengairannya bergantung kepada sungai dan tali air semula jadi yang didapati semakin berkurangan,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas lanjut, kerajaan negeri akan menggunakan pam bergerak dari tali air untuk disalirkan ke kawasan bendang sebagai langkah jangka pendek.

Menurutnya, usaha itu dilakukan dengan kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pada masa sama, katanya, ikhtiar dan tawakkal dengan memohon pertolongan Allah termasuk menunaikan solat sunat istisqa agar diturunkan hujan serta menamatkan musim kemarau perlu juga dilakukan. - UTUSAN ONLINE