Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa nege­ri, Dr. Azman Ibrahim ketika memberi jaminan itu berkata, pihaknya akan berusaha menangani masalah itu khususnya di kawasan Besut yang terjejas.

AZMAN IBRAHIM
AZMAN IBRAHIM

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi bagaimanapun memberitahu, keadaan masih terkawal dan antara kawasan terjejas adalah Kampung Oh selain di sekitar Skim Pengairan Pelagat di daerah Besut.

Menurutnya, bagi jelapang padi, ia tidak menghadapi masalah serius memandangkan kawasan itu mempunyai sumber pengairan yang mencukupi daripada Empangan Paya Peda serta Empangan Jajar.

“Apa yang jadi masalah ialah kawasan di luar jelapang padi yang mana sistem pengairannya bergantung kepada sungai dan tali air semula jadi yang didapati semakin berkurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menggunakan pam bergerak dari tali air untuk disalirkan ke kawasan bendang sebagai langkah jangka pendek.

Menurutnya, usaha itu dilakukan dengan kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).