BESUT 15 Mac - Peserta Konvoi Basikal Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan mencipta Malaysian Book of Record (MBR) apabila telah berjaya mengharungi perjalanan sejauh 621 kilometer sehingga semalam.
Setelah lima hari berbasikal bermula dari Rembau, Negeri Sembilan, konvoi yang dketuai oleh Presiden Persatuan Sukan Rekreasi OKU Penglihatan Negeri Sembilan (NSBSA), Shamsul Anuar Amat Kasi, 47 tahun tiba di Kompleks Rakan Muda Daerah Besut dI sini.
Bersama 39 lagi peserta termasuk seorang lagi OKU penglihatan dan seorang yang cacat di bahagian kaki, konvoi itu telah melepasi jarak 375 kilometer yang ditetapkan oleh MBR di bawqah kategori “Longest Distance Tandem Cycling By A Group (Visually Handicapped)”.
Shamsul berkata, pihaknya berharap konvoi itu dapat melepasi Banjaran Titiwangsa Sabtu ini yang bakal menguji ketahanan mental dan fizikal selain kerjasama di kalangan peserta bagi menamatkan kayuhan sejauh 1,505 km.
Bercakap kepada pemberita sejurus tiba do sini, Shamsul yang juga seorang guru berkata, program yang berlangsung selama 25 hari itu akan berakhir di Port Dickson.
“Kayuhan ini bertujuan merapatkan jurang golongan OKU dengan golongan normal, tiada beza antara kami di samping membuktikan bahawa orang seperti kami boleh berjaya jika diberi peluang dan sokongan.
“Kami ingin mengubah pandangan masyarakat terhadap OKU termasuk cacat penglihatan dan cacat fizikal boleh melakukan perkara yang sama asalkan ada semangat dan kegigihan, “ujarnya.
Turut bersama ialah isterinya, Siti Zubaidah Latif, 46 tahun yang juga seorang guru dan tiga anak mereka berumur antara 7 hingga 14 tahun.
Bekas Tokoh Guru Kebangsaan (OKU) 2019 dan Ikon Guru Negeri Sembilan Tahun 2016 itu hilang penglihatan sejak 15 tahun lalu ketika berumur 32 tahun akibat penyakit Rentinitis Pigmentosa.
Shamsul menambah, pada masa ini NSBSA mempunyai kira-kira 130 orang ahli dan 10 orang daripadanya merupakan OKU yang akan membuktikan bahawa golongan OKU mempunyai kelebihan tertentu dan mampu serta berani untuk melakukannya.- UTUSAN ONLINE