Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Penera­ngan, Datuk Almain Ajirul berkata, langkah itu dibuat melalui pelbagai saluran terutama ce­ramah-ceramah bagi memberi penjelasan dan kesedaran.

“Masyarakat kini umumnya dilihat tidak mengkaji kesahihan maklumat yang diterima, dan mu­dah mengiyakan walaupun tidak mengetahui isi cerita yang sebenar,” katanya.

Menurut beliau, Suruhanja­ya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah melancarkan laman web www.sebenarnya.my bagi rujukan orang ramai dan pengguna media sosial.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita dalam majlis makan malam sempena Kembara Media Negaraku di sini malam tadi.

Dalam program selama tiga hari itu, pengamal media dari luar negeri ini dibawa melawat Projek Rumah Komuniti di Besut selain projek mencegah hakisan pantai di Tok Jembal serta pembangunan projek jambatan angkat di muara Sungai Terengganu.

Menyentuh program Kembara Media Negaraku, beliau berkata, ia bagi memberi pendedahan kepada pengamal media supaya dapat menghebahkan maklumat sekali gus mempromosi usaha dan kejayaan kerajaan dalam pelaksanaan dasar serta perkhidmatan kepada rakyat.

“Usaha ini juga dapat memperkukuhkan jaringan komunikasi strategik dalam aspek perkongsian dan pemasaran maklumat antara Jabatan Penerangan dan agensi media,” katanya.