'Jom Kubang Ikan Darat' kembali riuh, meriah
Gelagat kumpulan kanak-kanak berjaya menangkap ikan haruan besar ketika Program Jom Kubang Ikan Darat di Kampung Teluk Paku hari ini.

Orang ramai mula berkumpul sejak pukul 7 pagi lagi bagi menyertai di samping menyaksikan program tradisi anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Paku bersama Pertubuhan Karyawan Kreatif Darul Iman (Karyawan Kreatif) itu.

Penyelaras program, Tuan Azman Shah Tuan Alias berkata, Jom Kubang Ikan Darat pertama kali dianjurkan pada 2016 dan diteruskan buat tahun kedua dengan pelbagai pengisian menarik termasuk hadiah istimewa kepada peserta yang berjaya mendapat ikan misteri.

Katanya, sejak pukul 12 tengah malam tadi petugas telah melakukan kerja-kerja awal membina tembok dan mengepam air dari alur parit bagi memastikan program pagi ini berjalan lancar.

“Peserta paling muda adalah sekitar dua tahun manakala yang paling dewasa berusia 80 tahun. Tentunya peserta yang paling seronok adalah kalangan kanak-kanak kerana dapat berkubang beramai-ramai menangkap ikan seperti keli, puyu, haruan dan sepat.

“Secara keseluruhannya hampir 400 kilogram ikan dapat ditangkap dalam tempoh kurang tiga jam ini dengan sebahagiannya dimasak untuk dimakan bersama manakala selebihnya diberikan kepada orang ramai yang datang,” katanya kepada pemberita.

'Jom Kubang Ikan Darat' kembali riuh, meriah
ORANG ramai bersama sebahagian pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menggagau ikan di tali air ketika Program Jom Kubang Ikan Darat di Kampung Teluk Paku hari ini. - UTUSAN ONLINE

Menurut Tuan Azman Shah, pihak penganjur menyediakan hadiah misteri berupa hamper kepada peserta yang mendapat ikan istimewa iaitu belut dan kura-kura.

Katanya, acara kali ini lebih meriah dengan kehadiran 36 pelajar Kor Asas Kewartawanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang turut sama mengambil bahagian. - UTUSAN ONLINE