Malah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi Terengganu, cadangan pembinaan projek berkenaan merupakan satu-satunya yang diberi keutamaan serta dimasukkan di dalam senarai untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Memandangkan projek tersebut memerlukan perbelanjaan yang sangat besar kerana ia bukan saja bina sebuah jambatan baharu, tetapi juga melibatkan urusan kawasan sekitar termasuk aliran lalu lintas, pembinaan lampu isyarat dan juga pengambilan tanah.

“Perkara ini sudah tentu kerajaan negeri tidak mampu di segi kewangan, jadi kita masih berusaha untuk menghantar cadangan mengenai anggaran perbelanjaan kepada kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dipertimbang dan diluluskan di bawah RMK-12,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksi dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang Perlawanan Akhir Bola Sepak Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang di Padang Astaka di sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Menurut Menteri Besar, isu kesesakan jambatan Marang pernah dibangkitkan kepada kerajaan Persekutuan pada suku ketiga tahun lalu di mana telah memberikan komitmen untuk menyenaraikannya sebagai projek keutamaan.

“Terpulang kepada kerajaan Persekutuan untuk menentukan bilakah projek tersebut akan dimulakan dan bagi kerajaan negeri sudah tentu ia mahu dilaksanakan secepat mungkin dalam usaha memberikan keselesaan kepada rakyat khususnya pengguna jalan raya yang melalui kawasan ini.

“Kita sedia maklum bahawa jambatan ini sudah agak lama di mana laluannya pula kelihatan sempit akibat pertambahan kenderaan menyebabkan ia sentiasa mengalami kesesakan lalu lintas terutama ketika waktu puncak, musim perayaan dan cuti umum. - UTUSAN ONLINE