Zahila,38, dari Jerteh Besut,  memberikan kelainan dengan menggoreng tongkolan jagung  bersalut tepung, dan di luar jangkaan, apa yang dipasarkannya mendapat sambutan daripada orang ramai yang ingin mencuba dan akhirnya menjadi pelanggan tetap.


Zahila atau lebih dikenali sebagai Kak Long Puyoh berkata, idea untuk menghasilkan jagung goreng itu tercetus pada awal tahun ini, lalu terus mencuba, dan berdasarkan reaksi pelanggan, beliau meneruskan sehingga mencecah 100 tongkol sehari.


“Saya memang menjual macam-macam jenis minuman dan  makanan termasuk cempedak dan ubi goreng, jadi apabila jagung goreng ini dapat sambutan memuaskan daripada pelanggan maka saya teruskan jualannya kerana kerana rezeki pun lumayan.


“Rasanya lebih manis dan sedap berbanding direbus atau dibakar. Harga yang dijual sekadar RM1 untuk empat keratan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini baru-baru ini.


Menurut Zahila, ketika jualan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini sempena pendafataran pelajar baharu beberapa hari lalu, perniagaannya terpaksa ditutup lebih awal kerana kesemua makanan termasuk jagung goreng habis dalam tempoh kira-kira empat jam.


“Sebelum ini saya pernah menjual durian goreng dan terbaharu saya mencuba membuat salak goreng namun harganya agak tinggi,” ujarnya.


Zahila memberitahu, jagung gorengnya bakal dibawa ke Lembah Klang tidak lama lagi kerana terlibat dalam acara trak makanan yang dianjurkan di sana.-UTUSAN ONLINE