Pengarahnya, Dr. Mohammad Omar berkata, hasil 56 serbuan oleh Cawangan Penguat Kuasa Farmasi itu, sebanyak 52 kertas siasatan dibuka dengan 34 daripadanya telah didakwa di mahkamah membabitkan denda berjumlah RM137,800.

“Enam daripada keseluruhan premis yang diserbu menjalankan aktiviti suntikan kecantikan secara dalam talian yang melibatkan rampasan 13 unit peranti digital bernilai RM28,299.

“Kita turut mempunyai pasukan yang terlatih dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau kegiatan mereka yang menawarkan perkhidmatan ubat-ubatan dan kosmetik haram di laman sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Farmasi Negeri Terengganu 2017 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Farmasi), Wan Noraimi Wan Ibrahim; Naib Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Andrew Tan serta Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Cawangan Terengganu, Datuk Hassan Mamat.

Karnival kali kedua itu bertujuan memperkenalkan perkhidmatan yang ditawarkan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, farmasi komuniti dan syarikat farmaseutikal di samping memberi pengetahuan serta meningkatkan kesedaran pengguna mengenai penggunaan ubat secara berkualiti.

Dr. Muhmmad berkata, orang ramai seakan masih tidak mengendahkan aspek keselamatan dan kesihatan apabila terus mendapatkan produk sedemikian yang mededahkan mereka kepada bahan terlarang atau beracun kerana tertarik dengan testimoni yang dikeluarkan. - UTUSAN ONLINE