Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, program itu bakal diadakan pada 16 Februari depan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di Kemaman itu dan majlis penutupnya akan disempurnakan oleh Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia merangkap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, Abdul Hadi dijangka menyampaikan ucapan bertajuk ‘pejuang Islam di alam siber’ pada sesi akhir bermula pukul 5 petang.

“Pengamal media perlu menggunakan media baharu sebagai wasilah atau platform dalam menyampaikan hal-hal berkaitan agama, kebenaran di samping maklumat tepat kepada seluruh rakyat dan warganet.

“Antara tajuk yang akan dikupas dalam perbincangan itu adalah jaringan siber: membina kehebatan ummah, fungsi media baharu melestari kesedaran dan kebangkitan rakyat Malaysia, tanggungjawab menangani kekeliruan maklumat dan menangkis fitnah di media baharu, peranan kita menguasai media baharu di samping memaksimumkan peranan dan tanggungjawab perjuangan Islam di alam siber,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Unit Penerangan Darul Iman (UPDI), Sood Said.

Program yang julung kali dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama UPDI itu bakal menjadikan Terengganu sebagai pencetus kepada usaha menyatupadukan pengamal media ke arah kesatuan Islam, kemurniaan syariat Allah dan daulat Islamiah

Ijtima’ Siber terbuka kepada mana-mana pengamal media baharu di negara ini dan seramai 3,000 orang disasarkan terlibat sebagai peserta.

Mohd. Nor berkata, antara tokoh yang akan ditampilkan ialah Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Supyan Hussin; pendakwah, Asma’ Harun; dan Pengerusi Jabatan Kajian Politik Nasional dan Antarabangsa di Institut Integriti dan Strategik Terengganu (TSIS), Nasrudin Hassan. - UTUSAN ONLINE