Beliau mengingatkan mereka tentang peperiksaan terakhir di peringkat menengah atas  itu yang menjadi salah satu laluan utama untuk ke universiti dalam mencorak impian kehidupan masa depan,  perlu dihadapi dengan yakin dan tenang.

“Yakinlah dengan diri sendiri. Lakukan yang terbaik namun jangan tertekan, teruskan menjawab soalan peperiksaan dengan penuh ceria dan tenang.

“Kalau berasa buntu, ambil nafas seketika untuk tenangkan fikiran dengan berselawat. InsyaAllah, semuanya akan kembali lancar,” ujar beliau di hadapan lebih 250 orang calon SPM dan lebih 100 orang calon STPM dari sekolah tersebut.

Bagi seluruh negeri ini, seramai 19,624 calon menduduki peperiksaan SPM dan 2,367 calon menduduki peperiksaan STPM yang bermula hari ini.

Dr. Ahmad Samsuri menasihatkan calon di seluruh negeri agar menjaga kesihatan dan keselamatan diri  terutama dalam musim tengkujuh kini bagi membolehkan mereka menghadapi suasana kritikal itu tanpa sebarang halangan.

DR. AHMAD Samsuri bersama warga pendidik dan sebahagian calon peperiksaan SPM dan STPM
DR. AHMAD Samsuri bersama warga pendidik dan sebahagian daripada  calon peperiksaan SPM dan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara, Marang hari ini. - UTUSAN ONLINE/MOHD. LAZIM ENDUT

Beliau turut menyatakan penghargaan dan terharu atas komitmen tinggi yang berterusan oleh  warga pendidik di semua peringkat di samping ibu bapa  bagi memastikan anak negeri terus cemerlang dalam pelajaran.

“Oleh itu, dalam Bajet 2019, InsyaAllah kita akan meneruskan insentif dan bantuan membabitkan proses pembelajaran untuk anak-anak,” katanya kepada pemberita kemudiannya. - UTUSAN ONLINE