Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, turut dikenal pasti dalam senarai berisiko ialah pelbagai jenis masakan ayam.

Katanya, orang ramai perlu sentiasa berwaspada ketika membeli sajian di lokasi berkenaan dengan menitik beratkan aspek kebersihan di samping membudayakan amalan lihat, hidu dan rasa sebagaimana kempen yang digerakkan Jabatan Kesihatan ketika ini.

“Setakat ini saya tidak menerima apa-apa aduan mengenai makanan yang dikitar semula.

“Tetapi jika pengguna mendapati makanan yang dibeli sudah berbau, berbuih, rasa yang bertukar masam atau perubahan-perubahan lain daripada sifat asal, kita minta mereka segera membuat aduan di mana-mana pejabat kesihatan daerah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan sempena Ramadan di Dataran Shahbandar di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh.

Mohammad memberitahu, sebanyak 43 sampel makanan yang dijual di bazar Ramadan tahun lalu dikenal pasti tidak mematuhi standard yang ditetapkan.

Ujarnya, daripada jumlah itu, sebanyak 15 sampel didapati tercemar dengan Bacillus Cereus di samping 15 sampel Coliform manakala 13 sampel (Staphylococcus Aureus).

Beliau berkata, seramai 339 anggota penguatkuasa Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan dikerahkan memantau tahap kebersihan penyediaan makanan dan persekitaran di bazar Ramadan di seluruh negeri ini.

“Sehingga kelmarin sebanyak 418 daripada 4,246 premis bazar Ramadan di seluruh negeri telah diperiksa dengan 387 buah mendapat markah 80 peratus dan ke atas manakala 31 buah (79 peratus),” katanya. - UTUSAN ONLINE