Forum Rangkaian Teluk Kalong ‘Usaha tingkatkan Kerjasama Di Kalangan Syarikat DiKawasan Perindustrian Teluk Kalong’ itu dihadiri lebih 20 wakil pemain industri dan beberapa agensi kerajaan yang terlibat di kawasan tersebut.

Forum itu dipengerusikan oleh Pengurus Kilang Venator Asia Sdn. Bhd., Datuk Rozano Saad.

Yang turut hadir, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kemaman, Kamaruddin Hassan; wakil Lembaga Pelabuhan Kemaman, Datuk Asmawi Nordin; Penolong Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Rooslinda Mamat dan Pengurus Operasi Konsortium Pelabuhan Kemaman (KPK), Suhardi Awang.

Bercakap kepada media, Rozano berkata, forum yang julung kali diadakan ini diharap dapat dijadikan platform berterusan bagi kolaborasi di antara pemain industri pada masa akan datang.

“Forum ini bertujuan mengukuhkan kerjasama di kalangan pemain industri yang beroperasi di kawasan tersebut di samping menggembeleng usaha dalam membantu masyarakat setempat sama ada dari segi pembelajaran mahupun alam sekitar.

“Alhamdulillah program hari ini berjaya dan kita berpuas hati apabila semua pemain industri di kawasan ini dan agensi kerajaan yang terlibat sanggup memberi kerjasama mengatasi masalah yang di hadapi dalam masa terdekat untuk kebaikan semua pihak,” katanya. - UTUSAN ONLINE