Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, menerusi transformasi itu Felcra menyasarkan untuk meraih pulangan bernilai RM10 juta bagi setiap satu hektar tanah peserta.

"Di Taiwan mereka mentransformasi teknologi dan masyarakat apabila satu hektar tanah boleh mengeluarkan hasil RM10 juta jadi, kita nak ikut transformasi sebegini.

"R&D kita bukan di tahap tinggi tetapi kita telah mula buat dan tidak ada yang mustahil (untuk dilaksanakan), sebab pernah dilakukan di Taiwan, Jepun dan Korea," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Sepetang Menteri Besar Terengganu bersama warga Felcra di Dewan Baiduri, Hotel Tabung Haji, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perusahaan Perladangan negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof serta Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Zulkarnain Md. Eusope.

Dalam perkembangan lain, Bung Moktar berkata, Felcra akan terus memainkan peranan ke arah membangkitkan semangat sekali gus membantu mempertahankan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah termasuk di peringkat negeri.

Katanya, BN dan UMNO merupakan parti keramat yang boleh serta terbukti berjaya membentuk masyarakat Malaysia yang maju dan sejahtera sejak dulu hingga kini.

"Walaupun UMNO parti lama tetapi kita boleh bertahan sebab sentiasa mentransformasikan dan meremajakan perjuangan untuk generasi akan datang," katanya.

Sementara itu, Ahmad Razif memberitahu, kehadiran Felcra di negeri ini telah memberi limpahan manfaat kepada rakyat khususnya masyarakat luar bandar.

"Felcra telah berjaya memajukan 19 kawasan di Terengganu yang membabitkan 178 projek dengan keluasan keseluruhan sebanyak 23,474 hektar dengan melibatkan seramai 5,918 orang peserta.

"Felcra juga telah mengagihkan kira-kira RM65 juta dividen bagi tempoh 2013 hingga 2017," katanya. - UTUSAN ONLINE