Motosikal jenis Honda EX5 kepunyaan wakil rakyat itu dilaporkan hilang pada 30 Disember lalu, sebelum ditemukan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru, Kuala Abang dekat sini malam tadi.

Ketua Polis daerah, Supe­rintenden Baharudin Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam itu, dua lelaki adik beradik berusia 38 dan 41 tahun turut ditahan.

Beliau berkata, hasil peme­riksaan lanjut polis turut mene­mukan sebuah motosikal jenis Mo­denas Kriss yang dilaporkan hilang.

Katanya, penahanan dua suspek itu menjadikan ke­semua lima lelaki ditahan dalam serbuan berasingan dalam Ops Lejang yang disertai dua pegawai serta 12 anggota polis bahagian siasatan jenayah daerah ini.

“Dalam ops tersebut, seramai lima lelaki berjaya kita tahan dan sebanyak empat motosikal yang dilaporkan hilang berjaya ditemukan semalam termasuk sebuah motosikal milik Ahli Parlimen Dungun.

“Manakala dua suspek adik beradik terbabit didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, dalam serbuan ber­asingan, polis turut menahan dua pemuda berusia 18 dan 21 tahun kira-kira pukul 1,30 petang dan menemukan semula sebuah motosikal Honda EX5 yang dilaporkan hilang pada 5 Januari lalu.

Menurutnya, dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang itu, pihaknya menahan seorang lagi pemuda berusia 20 tahun di Kampung Alur Tembesu dan sebuah motosikal Yamaha 135LC yang dilaporkan hilang pada 4 Januari lalu ditemukan semula.

Baharudin berkata, ke­semua suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Dungun dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.