Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, langkah tersebut bagi membolehkan jambatan unik yang satu-satunya di Asia dengan ‘bascule’ (daun jambatan) berukuran 76 meter itu dicatatkan sebagai yang terpanjang pernah dibina.

“Saya difahamkan struktur bascule drawbridge ini merupakan yang terpanjang di dunia.

“Jadi, dalam masa terdekat ini kita akan minta pihak MBOR untuk buat pengesahan tentangnya bagi membolehkan kita mencipta rekod negara dan seterusnya mencatatkan nama dalam Guinness Book of World Record,” katanya selepas melawat jambatan angkat di sini semalam.

Muhammad Bakhtiar Wan Chik
MUHAMMAD BAKHTIAR (tengah) diberi penerangan mengenai jambatan angkat di Kuala Terengganu, Terengganu semalam. - UTUSAN ONLINE

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi I, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong.

Muhammad Bakhtiar berkata, jambatan angkat yang disifatkan sebagai suatu binaan baharu yang mengagumkan itu bukan sahaja menjadi kebanggaan Terengganu bahkan, turut dibanggakan Malaysia.

Katanya, pihaknya telah berbincang untuk melaksanakan beberapa aktiviti di mercu tanda baharu tersebut sebagai tarikan tambahan kepada pelancong termasuk menganjurkan aktiviti sukan ekstrem di samping acara maraton bertaraf antarabangsa.

“Saya tengok ada kemungkinan untuk kita majukan sukan ekstrem di drawbridge ini tetapi kita kena dapatkan pengendali yang bertauliah dan boleh dipercayai. Saya ada mengenali beberapa orang daripadanya (pengendali) di peringkat dunia, jadi dengan kerjasama kerajaan negeri mungkin kita boleh jemput mereka ke sini untuk menilai akses dari segi keselamatan, potensi dan sebagainya.

“Selain itu, kita juga bercadang membawa pemimpin dan penggerak utama industri ke sini bagi menganjurkan salah satu pameran berskala mega kerana lokasinya bersesuaian untuk acara termasuk larian jambatan,” katanya.

Jambatan sepanjang 638 meter dan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan pusat Bandaraya Kuala Terengganu ke Seberang Takir di Kuala Nerus itu kini ditutup sementara dan dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada awal bulan depan.

Penutupan itu bagi melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur antaranya membabitkan pagar, kawasan parkir, laluan basikal dan beberapa aspek lain. - UTUSAN ONLINE