Anugerah berupa plak penghargaan itu disampaikan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Sambutan Hari Guru dan Aidilfitri Madrasah Dar Terengganu.

Yang hadir sama, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Hussin Awang; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan ADUN Air Putih, Abdul Razak Ibrahim.

Seramai 24 pendidik menerima Anugerah Guru Cemerlang manakala Madrasah Cemerlang Akademik dimenangi Sekolah Rendah Agama Bersepadu Zainal Abidin (SRABZA) Dungun dan Madrasah Darul Iman, Bukit Payong (kategori Kokurikulum) di samping Sekolah Rendah Islam Darul Bayan, Paka (Pengurusan Persediaan Awal).

Madrasah Dar yang bernaung di bawah Dewan Ulama Pas Terengganu mempunyai 11 buah sekolah rendah, sebuah sekolah menengah dan sebuah kolej universiti dengan jumlah tenaga pengajar seramai 315 orang dan 4,426 orang pelajar.

AHMAD SAMSURI MOKHTAR (tengah) bersama penerima Anugerah Cemerlang Guru Madrasah Dar dalam majlis S

AHMAD SAMSURI MOKHTAR (tengah) bersama penerima Anugerah  Cemerlang Guru Madrasah Dar dalam majlis Sambutan Hari Guru dan Aidilfitri Madrasah Dar  Terengganu di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) hari ini. - UTUSAN ONLINE/ MUKHATAR A. RAHMAN

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, walaupun Madrasah Dar bukan di bawah penyeliaan kerajaan negeri Terengganu tetapi pihaknya boleh memainkan peranan untuk membantu meningkatkan cara pengajaran kepada yang lebih baik seiring dengan peredaran zaman.

“Kerajaan negeri tidak akan sesekali mengambil alih sekolah-sekolah ini kerana sekolah ini mempunyai sejarah tersendiri, kita beri kebebasan kepada mereka seperti mana hak sistem pendidikan yang dijamin dalam Perlembagaan negara.

“Adalah tidak adil jika kerajaan negeri mengambil-alih kecuali mereka menawarkan kepada kita perkara itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE