Kambing bertompok hitam putih dengan berat 97 kilogram itu berjaya mengetepikan 20 peserta lain dalam pertandingan julung kali anjuran Terengganu Goat Breeders dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu di sini semalam.

Pemiliknya, Mohd. Asrul Gulam Mohd., 33, berkata, Bukk dibeli dari Bangkok, Thailand dengan harga RM3,000 dan merupakan kambing baka pertama yang dipeliharanya sejak mula berjinak-jinak dalam membela ternakan tersebut kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya, kemenangan itu membolehkannya membawa pulang wang RM200 berserta sijil penghargaan.

“Saya tidak sangka Bukk akan menang sekali gus dapat gelaran Kambing Comel pertama di Terengganu.

“Wang kemenangan akan digunakan untuk membeli makanan Bukk iaitu rumput dan daun.

Bukk makan dua kali sehari dan dari segi penjagaan lain tidak susah sebab ia jarang jatuh sakit,” katanya kepada pemberita selepas pertandingan itu di JPV Manir di sini.

Yang hadir sama, Pengarah JPV Terengganu, Dr. Mohd. Termizi Ghazali.

 

Mohd. Asrul Gulam dari Kampung Surau Panjang di sini berkata, kelebihan Bukk dari segi berat badan, ukur lilit, kesempurnaan dan simetri, kemasan bulu serta kuku di samping gaya jalan membolehkan ternakannya itu menjadi perhatian juri dan dinobatkan sebagai juara.

Katanya, selain Bukk dia turut memelihara 20 lagi kambing.

“Nama Bukk itu saya dapat secara spontan selepas dengar dia mengeluarkan bunyi bukk. Salah seekor anaknya, saya namakan Bubukk kerana turut mengeluarkan bunyi sama,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Termizi berkata, Pertandingan Kambing Comel itu telah dirancang sejak dua tahun lalu namun tertangguh disebabkan masalah teknikal.

Katanya, pertandingan itu akan dijadikan acara tahunan sebagaimana pertandingan lembu sado, ayam ratu, ayam serama dan burung candik.

“Saya berpuashati dengan jumlah penyertaan dan sambutan dari pengunjung amat menggalakkan kerana mereka tidak berganjak dari pagi hingga tamat acara,” katanya. - UTUSAN ONLINE