Che Mansor Salleh
CHE MANSOR SALLEH

Kawasan itu sebenarnya sentiasa lebih memihak kepada BN, namun bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said selaku penyandang selama dua penggal tewas mengejut kepada calon Pas, Ridzuan Hashim cuma dengan kele­bihan 109 undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Projek laluan susur Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi kemudahan umum yang membabitkan pengambilan tanah dan rumah di Kampung Banggol Donas yang dalam proses penyelesaian, namun dijaja oleh Pas berjaya mempengaruhi sebilangan penduduk menjadi sebahagian daripada faktor penolak kepada BN dalam PRU-13.

Kini, dalam PRU-14, giliran calon baharu BN, Che Mansor Salleh, 50, Pegawai Penyelaras DUN Teluk Pasu bagi meneruskan usaha parti mengambil semu­la kerusi berkenaan dan kembali berkhidmat sebagai penghubung rakyat dengan kerajaan.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Mansor dalam kalangan masyarakat setempat dan bertugas sekian lama sebagai guru di kawasan itu tentunya tidak perlu banyak diperke­nalkan lagi.

PRU kali ini dilihat lebih mencabar dan sukar diduga, walaupun tiada isu setempat berlegar apabila kerusi DUN itu melibatkan pertandingan tiga penjuru antara BN, Pas dan PKR.

Dua calon lain yang bakal dihadapinya ialah penyandang kerusi ini, Ridzuan Hashim dan calon baharu mewakili PKR, Azri Chik bekas ahli Pas setempat yang dikatakan agak berpengaruh de­ngan membawa penyokong bersamanya ke dalam parti baharu.

Namun, kalangan pemerhati politik menyifatkan perpecahan yang berlaku dalam Pas itu, membuka peluang terbaik kepada Che Mansor untuk meraih kemenangan selain bersandar rekod perkhidmatannya kepada masyarakat selain kurangnya ma­salah dalam parti.

Malah suasana yang lebih memihak kepada BN kali ini di­per­lihatkan dengan sokongan padu yang diberikan oleh Abdul Rahin yang sentiasa bersamanya dalam kempen memastikan kemenangan sekali gus membantu jentera parti berjalan lancar.

Che Mansor ketika ditemui di Markas Besar BN Buluh Gading malam kelmarin memba­yangkan kemenangan malah de­ngan majoriti lebih besar kali ini.

“Selain perpecahan undi antara Pas dan PKR, isu LPT2 membabitkan tanah dan rumah keluarga telah selesai manakala kekuatan jentera parti semakin bertambah dengan sokongan golongan muda dan tua.

“Saya juga cukup terharu apabila mendapat sokongan daripada Abdul Rahin yang boleh dikatakan setiap malam turun padang bergerak seiring membantu saya berkempen,” ujarnya.

Katanya, suasana masyarakat terutama sepanjang musim PRU agak berbeza kali ini apabila tidak lagi kelihatan sikap taksub para penyokong Pas yang sebelum ini seakan bermusuh sehingga mendekati markas mereka pun ditegah.

“Insya-Allah sekiranya diberikan kemenangan dalam PRU-14, banyak lagi yang boleh diusahakan untuk manfaat rakyat terma­suk menyediakan Rumah Mampu Milik untuk penduduk di Buluh Gading selain janji-janji lain yang terdapat dalam manifesto BN ne­geri dan Pusat,” ujar beliau.