Operasi yang disertai 12 anggota penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman itu mensasarkan premis komersial di kawasan yang mencatatkan peningkatan kes demam denggi.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd. Anuar Abd. Rahman berkata, sebanyak 104 premis komersial diperiksa di dua lokasi iaitu di Kawasan Jakar dan Taman Cukai Utama dekat sini.

Menurutnya, kesemua tempat pembiakan Aedes itu ditemui di dalam bangunan dan di situ terdapat bekas takungan berisi air antaranya tong cat, tempayan, pasu bunga, tangki simpanan air dan pam tandas yang rosak.

“Sehingga April tahun ini, sebanyak 113 tempat pembiakan Aedes ditemui yang kebanyakannya di dalam premis.

“Selain itu, sikap dan amalan penduduk yang tidak memeriksa bekas-bekas yang ada takungan air juga merupakan antara penyumbang kepada pembiakan Aedes di dalam rumah,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Anuar mengingatkan orang ramai agar sentiasa memeriksa bekas takungan air sekurang-kurangnya seminggu sekali termasuk meletakkan racun jentik-jentik bagi membasmi Aedes.

“Kesalahan membiak aedes boleh dikenakan tawaran kompaun maksimum sehingga RM500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975. Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali di bawah akta yang sama,” katanya. - UTUSAN ONLINE