Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh berkata, lelaki berusia 23 tahun bersama anaknya dari Kampung Sungai Berua itu dikatakan ke Hospital Hulu Terengganu kelmarin kerana mengalami demam, batuk dan selesema.

Katanya, pertambahan dua kes terbaharu itu menjadikan bilangan pesakit yang berada di hospital ketika ini adalah seramai tujuh orang dengan lima perempuan dan dua lelaki, daripada keseluruhan 20 kes yang direkodkan.

“Bapa dan anak mempunyai sejarah kontak dengan Suraya Akong yang disahkan positif Measles.

“Pada Jumaat lalu, satu lagi kes positif Measles direkodkan sekali gus menjadikan keseluruhan 17 kes pada masa ini manakala satu kes adalah negatif dan dua kes masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd., tiada aktiviti survelan dan pengesanan kes secara aktif (ACD) dijalankan kelmarin dan jumlah saringan ke atas empat perkampungan Orang Asli di daerah kemaman, Besut dan Hulu Terengganu kekal sebanyak 493. - UTUSAN ONLINE