Ketua Pegawai Syariahnya, Mohd. Nazri Chik berkata, program anjuran bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu itu secara tidak langsung dapat meringankan beban golongan memerlukan terutama anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Katanya, daerah Setiu merupakan antara empat lokasi yang dipilih bagi pelaksanaan program itu selain Perlis, Sarawak dan Johor.

“Kita memperuntukkan sebanyak RM45,000 untuk menjayakan program ini dengan harapan dapat memberikan kelegaan kepada keluarga berkenaan terutama dalam aspek perbelanjaan persekolahan anak-anak.

“Secara keseluruhannya sebanyak RM194,250 diperuntukkan melalui dana zakat untuk dikongsi bersama 400 penerima manfaat Program Amal Ihtimam Syawal di empat negeri terlibat,” katanya kepada pemberita di Nelayan Resort hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Perundangan dan Kesetiausahaan Bank Islam, Mariam Mat Said dan Pengarah LKIM Terengganu, Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmud.

Mohd. Nazri berkata, seramai 100 pelajar asnaf dari keluarga nelayan yang menuntut di beberapa buah sekolah menengah dan rendah di daerah Setiu menerima sumbangan raya masing-masing.

Terdahulu, katanya, pengisian program dimulakan dengan ativiti menziarahi lima keluarga dalam kalangan ahli PNK tersebut yang mengidap penyakit kronik di samping menyalurkan sumbangan wang tunai sebanyak RM300 dan barangan keperluan harian.

Sementara itu salah seorang penerima, Sopiah Abdullah, 44, tidak menyangka nasib malangnysa masih mendapat perhatian kalangan warga Bank Islam dan LKIM walaupun telah kehilangan suami sejak lebih setahun lalu.

Ibu tunggal kepada lapan anak berusia antara 20 bulan hingga 22 tahun itu ketika ini bekerja sebagai pembantu di gerai milik adiknya dan agak bernasib baik kerana rumah peninggalan suaminya dapat disiapkan hasil ihsan orang ramai. – UTUSAN ONLINE