Zarida Ali, 27, berkata, dia tidak menyangka urusan tuntutan pencen penakat suaminya selesai dengan begitu cepat sekali gus membantu meringankan bebannya yang kini terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Zarida yang bekerja sebagai kerani di Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad Darat Datok, Kemasik dekat sini berkata, dia telah dihubungi pihak Perkeso petang semalam sambil memaklumkan yang dia layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dibawah skim pencen penakat Allayarham suaminya, Mohd Shamsul Iftitah Husnan.

Mohd. Shamsul Iftitah, 32, meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 322 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Plaza Tol Kerteh dekat sini malam Jumaat lalu.

Mangsa yang merupakan kakitangan Felcra Kampung Wa, Dungun disahkan meninggal dunia akibat cedera parah di kepala selepas motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggangi melanggar belakang kereta rosak di tepi lebuh raya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Zarida dan lima orang anak termasuk empat orang dari isteri terdahulu serta bayi lapan bulan yang masih dalam kandungan.

“Saya tak sangka Perkeso begitu prihatin dan cepat menghulur bantuan FPM walaupun saya belum memohon sebarang bentuk bantuan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Lorong Bunga Tanjung, Bandar Seri Bandi di sini kelmarin.

Terdahulu, Zarida menerima kunjungan Pengurus Pejabat Perkeso Daerah Kemaman, Bunjamin Ahmad Almarzuki dan rombongan Skuad Perkeso Prihatin daerah.

Yang hadir sama, Penolong Pegawai Tadbir Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Rokiah Ngah.

Sementara itu, Bunjamin berkata, Perkeso membuat bayaran FPM berjumlah RM2,000 dan Zarida bakal menerima Pencen Penakat arwah suaminya bagi tanggungan secara bulanan.

“Jumlah bayaran akan ditentukan kemudian setelah kita menerima laporan daripada majikan Allahyarham Mohd. Shamsul Iftitah.

“Bantuan faedah Perkeso ini sangat penting dan besar maknanya kepada setiap pencarum di mana tujuan diwujudkan skuad untuk adakan promosi berterusan supaya majikan perlu lebih bertanggungjawab bagi membolehkan pekerja masing-masing membuat caruman,” katanya.

Beliau seterusnya berterima kasih kepada pihak media yang menyiarkan berita kemalangan melibatkan mangsa sehingga membolehkan Perkeso membuat semakan dan memproses tuntutan dengan segera. - UTUSAN ONLINE