Setiap pemilik premis perniagaan di kawasan Taman Cukai Utama dan Binjai itu dikenakan kompaun RM500 setelah didapati berlaku pembiakan nyamuk aedes dalam persekitaran premis.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd Anuar Abd. Rahman berkata, tindakan diambil hasil operasi dua hari itu oleh sepasukan 10 orang penguat kuasa yang memeriksa sebanyak 50 buah premis.

“Empat daripadanya ditemui pembiakan aedes. Tindakan diambil di bawah seksyen 13(1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975. Sabit kesalahan boleh didakwa di mahkamah dengan denda RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” ujarnya kepada Utusan Online.

Menurutnya, sejak Januari hingga hingga kini, sebanyak 28 kes demam denggi dilaporkan dengan peningkatan sebanyak 16.7 peratus berbanding 24 kes dilaporkan minggu yang sama pada tahun lepas.

“Pejabat Kesihatan Daerah mengingatkan semua peniaga agar tidak mementingkan aspek keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan aspek kebersihan,”ujarnya.

Katanya, peningkatan taburan hujan Monsun Timur Laut yang sudah bermula boleh meningkatkan risiko air bertakung dalam bekas-bekas yang berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes.

“Masyarakat setempat melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan badan sukarela Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) boleh mengadakan aktiviti gotong-royong bagi memusnahkan tempat pembiakan aedes di kawasan masing-masing,”ujarnya.-UTUSAN ONLINE