Dalam karnival perkahwinan Melayu terbesar di Terengganu itu, vendor berkenaan menawarkan promosi pakej perkahwinan, khusus untuk bakal raja sehari dari Kelantan, Pahang dan negeri ini.

Pengurus merangkap penganjur, Roslina Zakaria berkata, acara berkenaan berkonsepkan pusat sehenti yang memudahkan bakal pengantin mendapatkan pelbagai keperluan mereka.

“Datang shaja ke sini dan segalanya tersedia di bawah satu bumbung.

“Lebih menarik, para pengunjung berpeluang melihat dekorasi busana pengantin yang boleh memberikan ilham untuk majlis mereka kelak,” katanya di sini hari ini.

Bazaar Kahwin Pantai Timur 2018 dijadualkan dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Abd. Rahman malam ini.

Antara penaja bersama Bazaar Kahwin Pantai Timur 2018 ialah HNH Ilham Events, Riffai Couture, Ain Mahazis, Radhia Jus V Precious, Hotel Sumai, Al-Israf Katering dan Bunga Sayang.

Mengulas lanjut, Roslina berkata, antara vendor yang mengambil bahagian ialah butik pengantin, penyedia katering, fotografi dan videografi, pelukis inai tangan, pembekal kad jemputan perkahwinan dan cenderamata.

Katanya, turut mengambil bahagian dalam acara itu ialah jurusolek-jurusolek tersohor yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik pada hari penting pengantin.

“Kita juga adakan pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti pertunjukan fesyen dan busana pengantin serta persembahan pencak silat.

“Turut diadakan ialah pertandingan gubahan hantaran dan pelamin, sesi perkongsian alam rumah tangga oleh pakar motivasi disamping pembukaan kaunter pejabat agama untuk pendaftaran kursus kahwin,” katanya. - UTUSAN ONLINE