Konvoi yang melibatkan perjalanan pergi balik sejauh kira-kira 950 kilometer itu merangkumi Kedah, Perak dan Pulau Pinang dengan mengunjungi beberapa buah rumah pertubuhan anak-anak yatim.

Ketua konvoi, Rosli Mat Nor berkata, antara lokasi yang akan menjadi persinggahan sambil menjalankan aktiviti jalinan komuniti ialah Rumah Anak Yatim Sungai Petani dan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Daerah Kuala Muda, Kedah.

“Menerusi aktiviti itu, diharap dapat memberi peluang kepada ahli Kesukes Besut mengenali dan beramah mesra dengan komuniti di luar kawasan tempat bertugas sambil menjalankan aktiviti riadah.

“Selain tambah pengalaman menerusi santai konvoi bermotosikal itu, kita juga berharap dapat timba perkara positif dan tingkatkan nilai kemanusiaan untuk dihayati bersama,” ujarnya di sini.

Majlis pelepasan dengan simbolik kibaran Jalur Gemilang dan bendera negeri Terengganu itu disempurnakan bersama oleh Pegawai Kesihatan daerah Besut, Dr. Razan Abd. Samad dan Pengarah Hospital Besut, Dr. Hariza Hussin. - UTUSAN ONLINE