Bantuan bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Zuraida Md. Noor.

Zuraida berkata, kerajaan Terengganu meneruskan pemberian dana yang sudah menjadi tradisi tahunan semasa kerajaan terdahulu itu dengan memperuntukkan RM12 juta bagi sesi persekolahan tahun depan yang membabitkan keseluruhan seramai 116,000 pelajar.

Beliau berkata, sudah menjadi dasar kerajaan negeri untuk mengkaji mana-mana program sedia ada, sama ada diteruskan atau sebaliknya.

“Jika program tersebut dilihat baik dan memberi manfaat kepada rakyat, maka kita akan teruskan seperti mana dilaksanakan pada hari ini,” katanya selepas menyampaikan Dana Bantuan Persekolahan peringkat DUN Rhu Rendang di Dewan Sivik, Darat Pak Chan di sini.

Yang turut hadir, Penolong Pengarah Unit Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd. Aswadi Mohamad.

Zuraida yang mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan ADUN Wanita pertama Terengganu yang dilantik pada November lalu.

Menurutnya, dalam program yang bermula 10 Disember hingga 16 Disember itu adalah melibatkan pelajar terpilih untuk menerima bantuan seperti beg sekolah, stoking, kasut, kain, baju dan tudung.

“Bentuk bantuan kali ini juga ditukar daripada wang tunai kepada baucar yang mana ibu bapa atau pelajar yang ingin mendapatkan kelengkapan tersebut boleh menebus di premis ditetapkan di setiap kawasan DUN masing-masing.

“Pemberian dana ini diharap dapat membantu meringankan bebanan ibu bapa untuk membuat persiapan persekolahan bagi sesi 2019 nanti, khususnya mereka berhadapan kekangan kewangan,” katanya.