Penyelia Asrama SMK Geting, Alwai Shaikh Husin berkata, ekspedisi pertama kali itu merupakan kesinambungan aktiviti pembelajaran yang dilaksanakan oleh pengurusan asrama khusus untuk penghuni asrama sekolah berkenaan.

Katanya, program yang turut melibatkan tiga guru pengiring itu bertujuan meningkatkan motivasi, keyakinan dan sahsiah selain memantapkan kemahiran pengurusan diri dalam kalangan pelajar.

“Selain itu, ini juga akan memberi peluang kepada pelajar untuk lebih berdikari supaya pengetahuan, kemahiran dan daya mental dapat diimplementasikan dalam aktiviti kehidupan seharian,” katanya.

Alwai berkata, aktiviti pendakian menawan puncak Bukit Keluang itu berjaya disempurnakan tanpa sebarang halangan dengan tempoh masa diambil kira-kira 45 minit.

“Ini adalah penutupan program untuk tahun ini dan kami bercadang untuk mengadakan aktiviti lain yang lebih mencabar pada tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Geting, Noor Azlina Omar berkata, pihak sekolah berbesar hati dapat menganjurkan program itu bagi menghubungkan pelajar dengan komuniti setempat.

“Program ini berjaya mencapai matlamat dalam memahami konsep jauh berjalan luas pengalaman selain mendedahkan pelajar lokasi baharu untuk menambahkan pengalaman dan pengetahuan mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE