Dipilih daripada lebih 1,000 permohonan yang diterima sejak dibuka Oktober lalu, dan daripada jumlah itu, seramai 941 orang dipanggil untuk temuduga sebelum memutuskan mereka yang termasuk dalam senarai kumpulan pertama ini.

Pelancaran inisiatif terbaharu yang merupakan penjenamaan semula kepada Skim Penempatan Siswazah Terengganu (T-GAS) yang diperkenalkan kerajaan negeri pada tahun 2006 itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di sini hari ini.

Mereka akan diberi pendedahan di jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dengan elaun RM1,000 setiap bulan selama enam bulan mulai Disember depan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka termasuk kemungkinan diserapkan di situ berasas potensi yang diperlihatkan.

“Walaupun tempoh latihan hanya enam bulan tetapi saya berhasrat melanjutkan kepada 12 bulan bagi peserta menunjukan prestasi bagus untuk memantapkan mereka sebelum diserap terus sebagai pegawai tetap di syarikat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan TGTP di Hotel TH.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang; Pengurus Besar Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec); Saidi Salleh @ Sulong serta pengarah jabatan serta agensi terlibat.

Antara bidang latihan yang ditawarkan dalam TGTP adalah pertanian, pembinan/pembuatan, pengurusan, usahawan, pelancongan, perikanan dan penternakan.

Ahmad Razif percaya kesemua peserta mampu memenuhi objektif program sekali gus meningkatkan keupayaan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang selaras usaha melahirkan pekerja serba boleh bagi memenuhi keperluan pasaran kerja semasa atau berdikari.

Mereka yang dipertimbangkan bagi program ini terdiri daripada kalangan anak negeri, pemegang ijazah atau diploma dalam pelbagai jurusan, berusia 20 tahun ke atas.

“Bagi pemohon yang tidak terpilih jangan bimbang kerana mereka berpeluang dipanggil untuk peringkat seterusnya kerana kerajaan negeri akan membuka seluas-luasnya kesempatan menyertai program ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE