Program selama tiga hari yang julung kali diadakan itu merupakan salah satu inisiatif ExxonMobil dalam usaha meningkatkan peluang dan penglibatan golongan wanita di bidang ekonomi melalui usaha pembangunan kemahiran di samping penyediaan program sokongan.

Inisiatif di bawah program latihan keusahawanan khas itu secara tidak langsung bagi membolehkan mereka menjana pendapatan sekali gus meningkatkan taraf hidup diri serta keluarga.

Penyampaian sijil kepada para peserta disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd. Fadzli Yusof.

Menurut Mohd. Fadzil, program terbaharu itu dilaksanakan susulan kejayaan program sama membabitkan projek perusahaan cendawan dalam kalangan ibu tunggal dan beliawanis yang dirintis Exxonmobil dan YDSM sejak 2008.

“Kali ini ExxonMobil menyumbangkan kira-kira RM70,000 bagi program perusahaan madu kelulut ini dan kita proaktif untuk memantau para peserta terutama dalam tempoh tiga bulan pertama.

“Diharap latihan dan sokongan yang disediakan dapat memberi rangsangan kepada mereka terutama dalam memajukan diri sekali gus meningkat pendapatan masing-masing,” katanya. - UTUSAN ONLINE