Bertindak atas maklumat nelayan tempatan, kesemua 11 warga Vietnam berusia 26 hingga 42 tahun itu ditahan pukul 2 petang semalam ketika berlabuh sambil menangkap gamat di perairan negara, kira-kira 13 batu nautika berdekatan Pulau Tenggol, Dungun.

Pengarah Perikanan negeri, Zawawi Ali berkata, hasil siasatan mendapati kesemua nelayan terbabit baharu tiba di perairan negara selepas bertolak dari negara mereka kira-kira pukul 5 petang dan tiga pukul 10 malam semalam.

Menurutnya, pihaknya juga percaya nelayan-nelayan Vietnam itu mencerobohi perairan negara dengan tujuan menangkap gamat memandangkan perairan negara ketika ini mempunyai banyak gamat.

“Kita dapati mereka ini (nelayan Vietnam) mencerobohi perairan kita untuk tangkap gamat, ini berdasarkan beberapa peralatan khusus untuk tangkap gamat yang kita temui di dalam bot terbabit.

“Kesemua barangan yang kita sita ini termasuk dua buah bot dan peralatan melibatkan nilai keseluruhan mencecah hampir RM1 juta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zawawi seterusnya berkata, nelayan-nelayan asing itu kini ditahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan iaitu menangkap ikan tanpa kebenaran dan Seksyen 16 (3) kerana tiada notifikasi memasuki perairan negara.

Beliau turut mengesahkan pencerobohan nelayan Vietnam itu telah memberi kesan kerosakan serius ke atas terumbu karang di perairan Terengganu. - UTUSAN ONLINE