Mereka terdiri daripada graduan Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi), Teknologi Maklumat (Pe­ngaturcaraan) serta Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik bagi sesi Jun dan Disember 2016.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Pengerusi Eksekutif, Jasa Merin (Malaysia) Sdn. Bhd., Abdul Rahman Ali.

Yang hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Politeknik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Saifuddin Kumar Abdullah; Pengarah PKT, Radiah Che Su dan Timbalan Pengarah Akademik politeknik itu, Mohd. Rusmi Abd. Ghani.

Terdahulu, Radiah semasa ber­ucap dalam majlis itu berkata, PKT sentiasa berusaha dalam me­nghasilkan graduan yang menjadi pilihan utama industri, majikan dan pasaran pekerjaan sejajar dengan perkembangan teknologi yang semakin mencabar.

Katanya, kejayaan politeknik itu terserlah apabila 96 peratus daripada pelajar sesi Jun dan Disember 2016 telah bekerja dalam pelbagai ssktor industri di samping dalam agensi kerajaan dan swasta.

“Dalam usaha memartabatkan pelajar, PKT tidak terkecuali dalam menyediakan kemahiran keusahawanan sebagai nilai tambah ke arah pembentukan masa depan mereka selari dengan lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi),” katanya.

Dalam majlis itu, graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi), Nur Saliza Awang Besar, 25, muncul pelajar terbaik dengan merangkul empat anugerah atas kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

Anak bongsu daripada 11 beradik itu mencatat sejarah pe­ribadi dengan menerima Anu­gerah Pe­ngarah Politeknik, Anu­gerah Khas Ketua Jabatan, Anu­gerah Kecemerlangan Akade­mik dan Kokurikulum Jabatan ser­ta Anugerah Pro­jek Terbaik.