Bagi mengatasi masalah itu, kerjasama antara persatuan peniaga dan kerajaan perlu diperkuat selain menetapkan matlamat untuk mengurangkan peniaga asing sekali gus membanteras pemilikan lesen perniagaan haram.

Bagi mengulas isu berkenaan, pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), DATUK MOHAMAD ABDULLAH berkongsi pandangan dengan wartawan Utusan Malaysia, NURIN WAHIDAH MOHD KHALID.


 

UTUSAN: Apakah pandangan Datuk mengenai isu lambakan peniaga warga asing hari ini?

Kebanjiran peniaga warga asi­ng di negara kini sudah ber­ada pada tahap membimbangkan kerana kebergantungan peniaga kita yang terlalu tinggi pada warga asing. Ini diburukkan lagi apabila generasi muda tidak minat untuk menceburi bidang perniagaan atau keusahawanan.

Situasi ini bukan sahaja me­nimbulkan persaingan kepada peniaga tempatan tetapi merisaukan dari aspek ke­selamatan makanan kerana golongan itu tidak menerima latihan dalam pengendalian makanan apatah lagi untuk mematuhi garis panduan yang lebih ketat.

Kita ambil contoh paling mudah iaitu pengambilan suntikan pelalian anti-tifoid yang kebanyakan mereka (warga asing) tidak peduli atau faham mengenai kepentingannya sedangkan di negara ini undang-undang itu telah lama dilaksanakan demi keselamatan makanan dan pe­ngendaliannya.

Tetapi kita faham, isu pe­ngambilan warga asing di tem­pat premis perniagaan ini berkait rapat dengan margin perniagaan iaitu untuk me­ngurangkan kos operasi tetapi perkara ini perlu diteliti secara lebih terperinci.

Adakah peniaga di sini benar-benar mematuhi Undang-Undang Kecil Perlesenan Petempatan Makanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Wilayah?

Pihak berkuasa sepatutnya lebih tegas dalam isu ini ke­rana ia melibatkan pematuhan undang-undang. Jika tidak dipatuhi tiada guna peraturan diwujudkan. Setakat ini saya lihat, warga asing masih bebas berniaga seolah-olah mereka warga tempatan.

Selain daripada penguatkua­saan oleh pihak berkuasa, ke­sedaran tentang pematuhan ini perlu wujud dalam kala­ngan pemilik perniagaan itu sendiri dengan mensyaratkan pekerja mereka menghadiri latihan pengendalian maka­nan, mengambil suntikan, pia­waian kebersihan dan ke­selamatan di premis.

Bagaimana Datuk melihat pe­ranan pasukan petugas khas atau task force DBKL dalam isu ini?

DBKL sudah menetapkan per­aturan yang sistematik bahkan telah memberi masa yang panjang kepada peniaga untuk menggajikan warga tempatan. Kewujudan task force se­memangnya penting da­lam menyelesaikan isu ini melalui pe­nguatkuasaan yang le­bih ketat.

Apakah tinda­kan PPPKMWP da­lam menangani isu ini.

Sebagai pembela pen­­jaja dan peniaga kecil, visi kami adalah untuk membantu menyelesaikan setiap isu melalui perbinca­ngan, menerima aduan, memberi pendedahan dan be­kerjasama dengan pihak berkuasa kerana pe­ranan dan fungsi kami adalah sebagai perantara antara peniaga dengan pihak ber­ke­pen­ti­ngan yang lain.

Apakah cadangan Datuk kepada kerajaan untuk mengatasi masalah peniaga war­ga asing ini?

Satu mekanisme boleh diwujudkan untuk memberi peluang kepada ge­nerasi muda khusus pelajar lepasan sekolah atau universiti bekerja atau mendapat latihan daripada peniaga atau penjaja.