Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, syarikat itu yang merupakan antara pembekal barangan kepada Airbus itu akan melihat kesesuaian negeri ini dalam bidang itu.


“Hasil daripada misi yang lepas, sebuah syarikat MRO untuk Airbus dari Perancis akan menjalankan kajian lapangan untuk melihat kesesuaian Johor sebagai sebuah hab MRO bagi kapal terbang Airbus di rantau ini pada tahun ini,” katanya di sini sebentar tadi.


Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Big Wheel dan URCE Alibaba Malaysia Channel Partner untuk menubuhkan sebuah akademi antara lain untuk berkongsi teknik dengan golongan usahawan memilih produk yang betul serta cara memasarkan barangan ke pasaran global.


Sementara itu, dalam perkembangan lain, Jimmy berkata, kerajaan negeri merancang mengadakan lawatan kerja ke tujuh negara dalam usaha untuk mencapai sasaran RM8 bilion pelaburan pada tahun ini.


Menurutnya, negara yang bakal dilawati ialah Dubai, China, Australia, Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Singapura.


“Saya akan melawat Dubai bagi menghadiri festival makanan terbesar di dunia, kita berminat dalam bidang pemprosesan makanan kerana mahu menjadikan Johor sebagai hab halal di rantau ini.


“Lawatan ke Amerika Syarikat pula akan menumpukan kepada antaranya dalam bidang data berteknologi tinggi kerana kerajaan negeri menyasarkan menjadikan Johor sebuah kawasan Lembah Silikon yang baharu,” katanya. UTUSAN ONLINE