Menerusi penguatkuasaan akta ini, kesemua mata ditumpukan khusus kepada peranan syarikat konsesi dalam mengevolusikan perkhidmatan ditawarkan kepada masyarakat.
SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) merupakan syarikat konsesi yang dilantik menjalankan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
 Wartawan Utusan Malaysia, DIANA AZIS menemu bual Pengurus SWM Wilayah Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Dr. Al’Ashari Othman untuk berkongsi peranan , kesediaan dan perancangan untuk menambahbaik pengurusan sisa pepejal negara, selain mengubah sikap masyarakat bagi menyedarkan mereka bahawa tugas menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama.

 

Boleh terangkan secara ringkas peranan SWM di Negeri Sembilan serta jumlah petugas dan peralatan yang dimiliki

Al’Ashari: SWM berpe-ranan untuk menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di wilayah selatan merangkumi Negeri Sembilan, Melaka dan Johor di bawah Akta 672 iaitu Akta Pengurusan Kutipan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam.

Skop tugasan meliputi me­nyapu jalan, membersih longkang dan memotong pokok.

Di negeri ini sahaja, SWM mempunyai kekuatan hampir 2,000 pekerja dengan sokongan kira-kira 460 buah kenderaan dan jentera untuk tujuan-tujuan tersebut.

Antara kenderaan yang dimiliki adalah lori pemandat sampah, lori terbuka (RORO), jentera pembersih jalan, mesin penyedut longkang serta motosikal roda tiga.

Berapakah tan sisa pepejal yang diuruskan SWM setiap hari?

Sampah yang dikutip dan dikumpulkan di negeri ini kira-kira 800 tan sehari merangkumi sampah domestik, industri dan komersial.

Dari tahun ke tahun, jumlah tersebut semakin meningkat berikutan pertambahan bilangan penduduk, bilangan industri serta pembangunan yang semakin pesat di negeri ini.

Justeru dengan penguatkuasaan undang-undang penga-singan sampah di punca, dapat dilihat penyertaan orang ramai semakin meningkat dan kesedaran mereka untuk menyokong proses kitar semula juga di tahap tinggi.

Bagaimana pula proses pelupusan sisa pepejal?

Di Negeri Sembilan, kesemua sampah yang dikutip akan dihantar ke tapak pelupusan di beberapa daerah.

Bagi sampah yang dikumpulkan di daerah Seremban, Port Dickson, Nilai dan Rembau, ia akan dihantar ke tapak pelupusan sampah di Tanah Merah, Telok Kemang bagi proses seterusnya manakala di daerah kecil seperti Jempol, Kuala Pilah, Tampin dan Jelebu, kawasan ini mempunyai tapak pelupusan tersendiri.

Di Tanah Merah, tapak tersebut menerima 550 tan sampah sehari bagi dari empat daerah berkenaan manakala selebihnya adalah dari empat daerah kecil yang lain.

Boleh kongsikan sedikit me­ngenai kerja-kerja yang dilaksa-nakan sepanjang Ramadan lalu.

Tidak dinafikan sepanjang bulan Ramadan, lebih banyak sampah dihasilkan. Di negeri ini sahaja, terdapat lebih 50 lokasi dijadikan bazar Ramadan yang menjadi tumpuan pengunjung sepanjang bulan tersebut.

Oleh yang demikian, SWM te-lah menyediakan strategi dan perancangan bagi menangani peningkatan sampah yang dijana dari aktiviti di bazar Ramadan.

Kita sentiasa bersiap siaga menghadapi situasi tersebut dengan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan pada pukul 7.30 malam hingga 11 malam setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

Dari segi bilangan pekerja pula, seramai 200 tenaga kerja tambahan ditempatkan di kawasan-kawasan terlibat.

Bagi membantu melancarkan proses pembersihan 11 buah kenderaan pemandat sampah dan empat motosikal roda tiga turut disediakan.

Bagaimana pula dengan pelaksanaan kutipan sisa pepejal sepanjang cuti Aidilfitri lalu?

Secara logiknya, sebarang aktiviti jualan sudah tentu menjurus kepada peningkatan sampah kerana melibatkan penggunaan plastik serta pembungkus makanan.

Oleh yang demikian, SWM bertindak mendidik masyarakat untuk lebih prihatin terhadap kebersihan kawasan sekeliling selain mengendalikan sampah dengan betul menerusi amalan pengasingan sisa di punca.

Selain itu juga, SWM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ada menyediakan tong sampah besar di setiap lokasi bagi memudahkan peniaga dan pengunjung membuang sampah.

Sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri pula, operasi pembersihan masih berjalan seperti biasa melibatkan pekerja mengikut jadual yang ditetapkan.

Malah pihak SWM memberi insentif kepada pekerja yang bertugas pada cuti perayaan tersebut sebagai galakan dan tanda terima kasih syarikat kepada mereka.

Sejauhmana kesedaran masyarakat terhadap konsep pengasingan sisa di punca Ne-geri Sembilan?

Mengikut Akta 672, isi rumah yang tidak melaksanakan penga-singan sisa di punca akan dikenakan tindakan.

Berkuat kuasa 1 Jun tahun lalu, kompaun mula dikenakan terhadap pemilik-pemilik kediaman dan premis yang gagal melakukan pengasingan sampah atau sisa pepejal di peringkat punca.

Justeru dengan penguatkuasaan ini, masyarakat sudah mula prihatin dan lebih bertanggungjawab untuk melaksanakan pengasingan sisa di punca sekali gus bagi mengelak dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.

Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara maju tidak lama lagi. Apakah antara persiapan SWM bagi menghadapi cabaran tersebut?

Sejak kerajaan menguatkuasan pengasingan sisa di punca, perubahan sikap masyarakat dapat dilihat melalui sokongan yang diberikan. Justeru bagi pihak SWM, penglibatan mereka dalam membantu memudahkan kerja-kerja pengutipan sampah amat dihargai.

Melihat kepada cabaran yang bakal dihadapi oleh SWM di masa akan datang, sudah pasti pihak kami akan sentiasa bersiap siaga dari segi kekuatan pekerja serta jentera-jentera yang digunakan untuk melancarkan operasi pembersihan.

Di masa akan datang, kami juga akan memastikan jentera SWM sentiasa dikemas kini dan sesuai untuk sebarang kerja-kerja pembersihan sekali gus menunjukkan komitmen kami dalam tugas yang diamanahkan.