Pasukan sekolah berkenaan diwakili oleh pelajar tingkatan empat iaitu Abi Aamar Arshad, Muhammad Ajwad Mohd. Zamri, Siti Nabilah Syahirah Roslan, Rushdina Sofea Rusdan dan Syarifah Aliyah Habit Mustafa, di bawah bimbingan guru pengiring, Wan Salasiah Wan Sulaiman di sam­ping Sharuddin Mohamed.

Kejayaan dalam penyertaan kali pertama SMK Panji Alam diraih menerusi produk inovatif mesra alam berupa penapis air minuman yang dinamakan Paddy Straw-Clay ((Pads-Clay) melalui penggunaan jerami dan tanah liat itu mampu menjamin kualiti air pada kos rendah.

Pengetuanya, Che Engku ­Noor­­aien Che Engku Mahmud berkata, pencapaian membanggakan itu secara tidak langsung memberi suntikan motivasi untuk terus memperkasakan bidang reka cipta dan inovasi di sekolah tersebut yang sebelum ini kurang diberi tumpuan sekali gus mencungkil bakat terpendam pelajar.

Beliau memberitahu Utusan Ma­laysia, Pads-Clay yang di­siapkan dalam tempoh sebulan merupakan idea bersama pihak sekolah dan pelajar dengan bim­bingan seorang penyelidik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

“Ini merupakan pengalaman ba­haru buat pelajar jadi pi­hak sekolah merancang untuk membawa mereka ke beberapa pertandingan inovasi lain sebagai persiapan ke arah memantapkan persembahan pasukan.

“Harapan saya agar SMK Panji Alam yang berstatus sekolah harian biasa ini mampu cemerlang dalam bidang penyelidikan dan bersaing di peringkat kebangsaan yang kebanyakannya didominasi sekolah berasrama,” katanya ketika dihubungi.

Che Engku Nooraien berkata, sebagai langkah awal ke arah merangsang dan memperkasakan bidang penyelidikan, pihaksekolah telah mewujudkan makmal inovasi untuk kegunaan pelajar.