Pengetuanya, Hashim Mohd. Dom berkata, anugerah tersebut bagi kategori Kepimpinan Kumpulan Pengakap Terbaik, Pe­mimpin Pengakap Remaja Terbaik dan Kumpulan Pengakap Terbaik.

“Selain itu, seramai 11 ahli Pe­ngakap Laut SMK Dato Penggawa Barat menerima pengiktirafan Pengakap Raja yang merupakan anugerah tertinggi Pasukan Pe­ngangkap di negara ini.

“Kejayaan melahirkan Pengakap Raja pada tahun lalu merupakan yang paling ramai berbanding hanya seorang pada 2014 dan enam orang pada 2015 hasil kerja berpasukan yang baik.

“Kejayaan ini akan menjadi dorongan dan galakan kepada ahli pengakap yang lain supaya terus meningkatkan pegetahuan dan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Pengakap Laut di SMK tersebut, hari ini.

Tambah Hashim, kecemerla­ngan itu juga membuktikan bahawa Pengakap Laut sekolahnya setanding dengan nama-nama besar seperti Penang Free School dan Victoria Institution Kuala Lumpur.

“Kami gembira kerana dapat mengharumkan nama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam aktiviti pengakap di negara ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Guru Pengakap SMK Dato Penggawa Barat, Anuar Salleh yang meneri­ma Anugerah Kepimpinan Kumpulan Pengakap Terbaik 2016 bersyukur atas anugerah tersebut.

Ujarnya, Pengakap Laut seko­lah itu yang mempunyai 212 ke­ahlian aktif menjalankan pelbagai ke­gia­tan kemasyarakatan melibatkan semua kaum di daerah itu.

Pada tahun ini kata Anuar, pihaknya akan menganjurkan program Penggawa International Scout Fiesta yang bakal disertai pengakap dari Indonesia, Singapura, Australia dan Brunei.