Liputan media pada majlis itu agak besar, maklumlah Ahmad Zahid yang ketika itu masih memegang jawatan sebagai Naib Presiden parti yang menjalankan tugas-tugas Pre­siden datang dan kebetulan program itu diadakan dua hari sebelum UMNO mengadakan pemilihan parti.

Berikutan kekalahan yang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), nyata sekali sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Melaka hari itu agak hambar.

Ada ahli dan pemimpin parti yang datang tanpa memakai baju Melayu, sebalik­nya seperti petugas media hanya berbaju biasa, umpama tiada keraian majlis hari raya kali ini.

Katering untuk jamuan hari raya itu juga boleh dikatakan agak biasa-biasa.

Memang berbeza sekali sambutan hari raya UMNO kali ini.

Mungkin untuk penjimatan kos dan selepas majlis itu Ahmad Zahid terus ke Johor dan memaklumkan akaun UMNO di Pusat dan Selangor telah disekat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sebagai parti pembangkang, itulah hakikat yang ha­rus ditelan oleh penyokong dan ahli UMNO, mereka bukan lagi parti pemerintah yang boleh menggayakan baju Melayu indah dalam majlis hari raya, menikmati juadah dari gerai-gerai yang banyak dan dihias indah.

Namun ada satu sikap yang mahu penulis sentuh tentang segelintir ahli UMNO yang datang dalam majlis itu.

Ketika selesai Ahmad Zahid menyampaikan ucapan dan sesi makan-makan masih ber­langsung, tiba-tiba petugas media terhidu bau rokok.

Setelah diperiksa rupa-rupanya ada seorang ahli UMNO yang duduk di salah satu meja di bahagian tengah belakang merokok di dalam dewan itu. Bukan dia seorang, ada lagi seorang ahli berdiri dan tiba-tiba datang ke meja itu untuk berbual.

Sama ada seseorang itu pe­rokok tegar atau tidak, perlulah menghormati majlis. Ia bukan majlis ceramah yang diadakan di tengah padang.Inilah sikap segelintir ahli UMNO yang perlu diubah. Hormati majlis dan jika benar-benar berkeinginan untuk menyedut asap rokok selepas menikmati nasi lemak enak, apa salahnya dilakukan di luar dewan.

Mungkin hal ini tidak boleh dipersalahkan kepada orang UMNO sahaja, mungkin juga perkara ini berlaku dalam majlis-majlis anjuran kerajaan Pakatan Harapan.

Apa yang ingin dikongsi adalah bagaimana keperibadian seseorang itu boleh dinilai melalui sikap mereka.